Bekas penerjun kebangsaan China, Li Teng, memulakan tugas sebagai penolong jurulatih baru skuad terjun negara, sekali gus pembakar semangat untuk menyapu bersih 13 pingat emas yang ditawarkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Li Teng dipilih menggantikan Zhao Wei yang meletak jawatan, Januari lalu.

Beliau pernah meraih pingat emas 10m platform terjun seirama dalam Kejohanan Remaja Dunia 2006 sebelum mengumumkan persaraan pada 2014.

Li Teng menyertai bidang kejurulatihan pada 2015 apabila dilantik membimbing wilayah Hainan sebelum ditawarkan menyertai skuad terjun negara.

"Malaysia memiliki ramai penerjun berbakat seperti Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong. Ia antara sebab mengapa saya datang ke Malaysia selain mahu menimba pengalaman daripada jurulatih hebat di negara ini. Saya berharap dapat membantu Malaysia dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Tugas utama Li Teng ialah membantu Huang Qiang dalam skuad pelapis.

Namun, beliau diminta mengendalikan sesi latihan skuad elit negara apabila ketiadaan ketua jurulatih, Yang Zhuliang, yang membawa penerjun negara beraksi di luar negara.