Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, percaya nilai Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos ini mampu meningkatkan semangat kontinjen negara demi memburu kejayaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Daripada aspek penganjuran dan persiapan atlet, Malaysia sudah bersedia menghadapi Sukan SEA. Ia bukanlah satu persiapan dua minggu tetapi dua tahun. Saya boleh disimpulkan bahawa kami sudah berada di tahap terbaik.

"Dengan perkembangan teknologi, aura dan kehangatan menantikan Sukan SEA ini semakin meluas. Kali ini, teknologi telah membantu promosi KL2017 dan tarikh kejohanan diadakan seiring dengan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos," katanya dalam temubual 'Di Ambang Sukan SEA' menerusi Nadi Arena, malam ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata liputan yang disediakan adalah yang paling banyak -- 28 acara sukan dibawa secara langsung dengan dua saluran YouTube juga akan memberikan liputan.

Ditanya mengenai potensi pencapaian kontinjen negara, ini komen beliau: "Sasaran saya adalah mahu muncul sebagai juara keseluruhan dan yang kedua adalah usaha untuk membida menganjurkan Sukan Olimpik."