Enam bulan menggalas tugas sebagai jurulatih kriket wanita negara, Thushara Kodikara, menyifatkan ia bukan sesuatu yang mudah dan Sukan SEA 2017 akan dijadikan penanda aras kepada tahap kemampuannya mengendalikan pasukan.

Hampir 10 tahun mengendalikan skuad kriket lelaki negara, Kodikara menganggap ia cabaran baru apabila beralih arah melatih pasukan wanita sejak Julai tahun lalu.

Tiada perbezaan ketara kecuali hanya perlu lebih memahami anak buahnya dengan teliti berbanding skuad lelaki yang lebih berdikari.

Apa yang lebih penting, temasya Sukan SEA pada Ogos depan akan dijadikan landasan untuknya membawa pasukan kriket wanita ke tahap cemerlang dalam meraih pingat emas buat julung kalinya.

"Ini adalah kali pertama kriket wanita dipertandingkan dalam Sukan SEA. Semua pihak teruja dan mahu memenangi pingat emas.

"Kami akan menghadiahkan emas kerana saya percaya barisan pemain saya mampu melakukannya," ujar Kodikara.

Penilaian terhadap 20 pemain akan dilakukan sewaktu perlawanan persahabatan melibatkan tiga negara, iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura di Thailand, Mac depan, di mana hanya 14 pemain utama dan tiga pemain simpanan akan dipilih beraksi dalam Sukan SEA.

"Tiga bulan sebelum Sukan SEA, saya akan membuat penilaian untuk menyenaraikan seramai 17 pemain yang saya akan pantau dalam beberapa kejohanan."