Perenang wanita negara, Phee Jinq En, berharap penampilannya dalam Jelajah Mare Nostrum -- bermula 10 Jun ini -- mampu membuahkan hasil sepertimana yang diraihnya dalam edisi lalu dengan satu pingat emas dan dua perak.

Jinq En yang menyambung pelajarannya di Amerika Syarikat kembali memulakan latihan bersama skuad negara di tanah air.

Jelajah Mare Nostrum yang berlangsung di tiga venue, iaitu Monaco, Barcelona dan Perancis akan menjadi sebahagian daripada persiapan atlet menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Menjadi satu-satunya perenang negara yang meraih emas dalam siri pertama jelajah itu di Monaco, tahun lalu, bagi acara 50 meter kuak dada, Jinq En bersedia menguji kemampuan dalam edisi kali ini dengan saingan lebih kompetitif daripada negara lain.

"Buat masa ini, saya belum pasti lagi tahap prestasi saya kerana hanya sempat bertanding sekali sahaja sejak Sukan Olimpik Rio 2016.

"Jelajah Mare Nostrum akan menjadi medan untuk saya menilai kemampuan dalam kalangan pencabar Asia Tenggara.

"Saya yakin bahawa prestasi saya masih di tahap terbaik," katanya.

Berjaya meraih emas acara 100m kuak dada dalam Sukan SEA 2015, Jinq En sedikit tertekan dengan tumpuan negara yang ingin melihat dia mempertahankan pencapaian itu sekali lagi dalam penampilan kedua di pentas temasya dwi-tahunan itu.

"Kepantasan peserta Indonesia, Singapura dan Thailand membuatkan saya sedikit tertekan.

"Namun, saya pasti akan melakukan yang terbaik."