Harapan kian menyinar untuk pemain badminton negara, Goh Jin Wei, diletakkan semula sebagai sandaran utama dalam acara perseorangan wanita selepas kembali menjalani latihan setelah pulih daripada kecederaan buku lali.

Jin Wei mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika bersaing dalam Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Julai lalu.

Sejak itu, kedudukannya dalam kem negara terjejas sehinggalah keputusan perubatan pada 29 Julai lalu menunjukkan kecederaan dialaminya tidak serius seperti disangkakan.

Jin Wei kini dilaporkan semakin pulih dan sudah pun kembali ke Akademi Badminton Malaysia untuk menjalani latihan.

"Keadaan saya semakin baik, kini saya sedang berusaha untuk mendapatkan sentuhan semula di dalam gelanggang," katanya.

Dengan Sukan SEA hanya berbaki kurang daripada seminggu, Jin Wei optimis untuk kembali memikul tanggungjawab dalam acara perseorangan.

Selain Jin Wei, turut menggalas cabaran dalam perseorangan wanita adalah Soniia Cheah, Lim Yin Fun dan Ho Yen Mei.

"Saya berharap dapat meningkatkan prestasi saya dengan berbaki beberapa hari lagi sebelum Sukan SEA. Kami memiliki peluang untuk mencipta kejayaan."

Skuad badminton negara akan memulakan saingan pada 22 Ogos di Arena Axiata, Bukit Jalil.