Milo selaku minuman rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur mengukuhkan lagi sokongan mereka untuk temasya edisi ke-29 itu dengan menganjurkan Larian Obor Milo Nestle, hari ini.

Seramai lapan pembawa obor utama, termasuk chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Marina Chin, dan pemain hoki negara, Joel van Huizen, bersama-sama atlet wushu, Diana Bong, dan bekas atlet, M. Kumaresan selaku Timbalan CDM serta bekas ketua pasukan hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, turut serta.

Marina selaku pembawa obor keempat diiringi Kumaresan, Mirnawan dan bekas juara dunia wushu sebanyak dua kali, Ho Ro Bin, menyerahkan obor kepada Joel sebelum diakhiri oleh Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo, Philomena Tan.

"Saya berasa sangat bangga kerana diberi peluang oleh Milo untuk membawa obor untuk Sukan SEA ini.

"Saya sendiri sebagai CDM negara berharap rakyat Malaysia menyokong Sukan SEA nanti. Larian ini sangat baik," kata Marina.

Mengulas mengenai penglibatan beberapa atlet dalam kempen Milo untuk temasya itu, Marina berkata: "Atlet yang terpilih untuk iklan Milo adalah yang membanggakan negara.

"Saya fikir mereka adalah yang paling sesuai dan berharap mereka menjadi inspirasi kepada atlet-atlet muda."

Barisan atlet negara bakal berhimpun di penginapan rasmi kontinjen negara di Hotel Renaissance Kuala Lumpur bermula Jumaat ini sambil menjadi kem latihan fasa akhir sebelum temasya bermula.

Selain matlamat utama dalam memupuk semangat dalam kalangan atlet, ia turut menjadi medan kepada mereka untuk meninjau venue pertandingan bagi menyesuaikan diri.

Jelas Marina, perhimpunan itu juga akan menguji segala kemudahan yang telah disediakan, termasuk aspek pemakanan.

Berbaki 17 hari menuju Sukan SEA, Marina menekankan aspek kesihatan dan kecergasan setiap atlet kerana perkara seumpama itu sebenarnya mampu menjejaskan misi negara jika tidak dijaga.