Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzil Johan, terpaksa menangguhkan Kejohanan Pra-Sukan SEA yang sepatutnya bermula kelmarin tatkala kerja-kerja menyiapkan gelanggang luncur ais di Empire City, Damansara sudah mencapai 90 peratus.

Lapisan pertama ais sudah dipasang dan pihak kontraktor dijangka siap memasang ketiga-tiga lapisan, esok.

Begitupun, ISAM memerlukan sedikit masa untuk membuat penilaian dan ujian, lantas terpaksa menangguhkan kejohanan tersebut selewat-lewatnya selepas kesemua lapisan dipasang.

"Kita tunda sedikit beberapa hari sahaja bagi memastikan ais berada dalam keadaan terbaik. Ini kerana sukan luncur ais memerlukan permukaan ais berada dalam keadaan halus dan tebal," jelas Fadzil.

Setakat ini, Kejohanan Pra-Sukan SEA bagi acara short track sudahpun dijalankan dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kejohanan itu mendedahkan beberapa masalah teknikal gelanggang ais sehingga terpaksa dibina semula.

"Apabila siap lapisan pertama, baru kami akan mengecat sebelum menyiapkan lapisan kedua dan ketiga," tambah Fadzil.