Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, sudah jemu menunggu perkembangan terkini mengenai program latihannya di Australia yang masih belum ada jawapan.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berusaha mengatur program latihan baru di Australia buat Irfan masih belum memberikan sebarang kata putus berhubung hal terbabit.

Menyifatkan sudah terlalu lama menunggu, pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 ini enggan terus berharap selain hanya fokus terhadap sesi latihan seperti biasa di Malaysia.

Kekecewaan itu diluahkannya kerana masa yang makin suntuk untuk melakukan persiapan yang lebih teratur menjelang Sukan SEA, Ogos depan.

"Saya sekarang sudah hilang harapan mengenai program latihan saya untuk ke Australia, saya hanya memberikan tumpuan latihan di sini bagi menghadapi Sukan SEA," katanya.

Bagaimanapun, Irfan enggan terus memikirkan isu itu yang boleh memberikan tekanan kepadanya kerana tidak kira berlatih di mana sekali pun, misinya tetap sama, iaitu ingin mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA edisi ini.

"Sasaran utama saya adalah untuk mempertahankan pingat emas saya. Selepas itu, saya memberikan tumpuan kepada perancangan untuk menghadapi kejohanan pada tahun akan datang."

2015 menyaksikan permulaan luar biasa buat Irfan, yang memecahkan rekod dalam dua kejohanan berbeza dalam tempoh tujuh hari.

Kecemerlangan itu berterusan pada 2016 apabila Irfan memperbaiki rekodnya di Jerman, Austria dan akhirnya 59.29 meter dicatatkan dalam Kejohanan Samorin Slovak Club, Slovakia.