Dua pemain ragbi wanita 7 sepasukan negara, Sharifah Noor Fasha Edayu dan Henrietta David, kembali membarisi senarai akhir 12 pemain skuad negara untuk Sukan SEA Kuala Lumpur selepas bergelut dengan kecederaan bahu.

Status Fasha dan Henrietta sebelum ini agak samar ekoran menghadapi kecederaan itu ketika pasukan negara menghadapi siri perlawanan ujian di Australia, Jun lalu.

Sejak itu, mereka kerap tersisih daripada sesi latihan dan menjalani rawatan pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).

Namun, jurulatih skuad negara, Nik Safuan Ismade, melihat kesungguhan dan komitmen yang ditampilkan kedua-dua pemain ini adalah satu nilai tambah untuk Malaysia dalam misi memperbaiki pencapaian mereka ketika dalam Sukan SEA Singapura 2015.

"Perasaan itu memang sedih sebab khuatir tidak dapat sertai pasukan, sebab kami sudah berlatih sejak dari tahun lalu. Tetapi saya buat usaha sendiri dengan setiap hari berlatih untuk pemulihan," kata Henrietta.

Fasha pula berkata: "Pada awalnya memang ada trauma (selepas cedera) tetapi lama-kelamaan ia hilang selepas mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih."

Dalam pada itu, berita pengunduran skuad Indonesia memberi kelegaan buat Nik Ismade yang berasakan peluang Malaysia untuk mengutip pingat cerah memandangkan hanya lima negara yang akan bersaing nanti.

"Bagi saya, ia satu kelebihan kerana kurangnya perlawanan, jadi kami dapat rehat yang secukupnya. Kami berharap dapat menewaskan Singapura dan Filipina," katanya.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, ragbi wanita 7 sepasukan turut disertai Thailand, Laos, Filipina dan Singapura.

Senarai 12 pemain negara

1. Christina Idris
2. Cindy John Pasan
3. Dayang Anak Manggie
4. Euphrasia Anne Cralis
5. Fidelia Limang Anak Telajan
6. Henrietta David
7. Norfarahana Aziz
8. Normasyirah Zahari
9. Rozliana Mohd Ridwan
10. Siti Farhanita Maddin
11. Wan Zufirah Mohd Nasir
12. Sharifah Noor Fasha Edayu Syed Mohammad Fauzie