Ketua jurulatih sepak takraw wanita negara, Mohd Fikri Mohd Nor, menjadikan program latihan di Hatyai, Thailand sebagai lokasi penilaian terakhir untuknya memuktamadkan lapan pemain terbaik untuk ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Setakat ini, 17 pemain berada di bawah kendaliannya bagi mengharungi persiapan penuh menjelang temasya dwitahunan itu.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah merangka latihan intensif di sana untuk dimanfaatkan oleh barisan pemain bagi menambat hati Fikri dan dipilih dalam skuad terakhir.

Mereka bakal berdepan beberapa aksi persahabatan dengan kelab-kelab dari Thailand yang dirasakan Fikri mampu menjadi rakan sepelatih terbaik berdasarkan prestasi mereka yang setaraf dengan skuad kebangsaan negara itu.

“Kami sedar Thailand adalah sebuah pasukan yang kuat, malah pasukan-pasukan kelab dari sana juga memiliki skuad yang sukar untuk ditewaskan,” ujarnya.

Setakat ini, dia hanya bimbangkan dua pemain, Nurrashidah Abdul Rashid dan Siti Norzubaidah Abdul Wahab, yang masih belum pulih daripada kecederaan sebelum melakukan pemilihan terakhir.

“Yang terbaru adalah Nurrashidah (apit kanan) telah mengalami kecederaan dan kini sedang melalui proses pemulihan.

“Saya memang risau, namun perlu mengakui risiko kecederaan sentiasa ada,” ujar Fikri.
.