Selepas Ooi Tze Liang, tiba giliran penerjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee meraikan pingat emas kedua peribadi dalam saingan Sukan SEA Vietnam selepas menguasai acara 3 meter papan anjal individu di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi.

Lebih manis, kejayaan Yan Yee diiringi pingat perak yang diraih Ong Ker Ying, rakan seperjuangannya ketika membutirkan emas keempat Malaysia menerusi acara 3 meter papan anjal seirama semalam.

Pemburuan pingat ketujuh peribadi Yan Yee di pentas dwitemasya itu bermula baik dengan meraih 57 mata di terjunan pertama.

Namun terjunan kedua meletakkan Yan Yee pada kelas tersendiri dengan mata tertinggi 65.10 mata dan membiarkan penerjun lain bersaing di antara mereka.

Ker Ying yang membuat penampilan pertama di Sukan SEA, pula berjaya bangkit dengan terjunan kemas di pusingan keempat untuk 58 mata yang meletakkannya di persaingan podium.

Tuah terus menyebelahi kem terjun negara apabila terjunan kelima dan terakhir Ker Ying membutirkan 54 mata dan cukup untuk Ker Ying mengumpul 242.40 mata untuk pingat perak.

Yan Yee yang selesa mendahului pula menamatkan saingan dengan 55.50 mata, terjunan emas untuk keseluruhan 270.60 mata.

Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun Singapura, Fong Kay Yian, yang berkelebihan kira-kira satu mata berbanding penerjun Filipina, Arianna Hannah Talingting Drake.

"Saya berasakan prestasi kurang cemerlang dan secara keseluruhan tetap berpuas hati dengan pingat emas yang diraih kali ini," kata Yan Yee.

Imej: seagames2021.com