Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan kriteria baru bagi kelayakan atlet negara ke Sukan SEA Hanoi 2022.

Langkah drastik yang diambil ini adalah bagi memastikan barisan atlet yang dihantar kelak bukan sebagai kontinjen belasahan.

Bagi kategori B, MOM menetapkan atlet perlu dalam kalangan enam terbaik berbanding sebelum ini iaitu lapan terbaik.

Bagi bagi kategori A, MOM mengekalkan syarat kelayakan sekurang-kurangnya berada di kedudukan tiga terbaik bagi acara yang disertai.

"(Syarat) kategori B boleh dikatakan akan menjadi lebih ketat berikutan peluang untuk memenangi pingat sukar.

"Kami juga beranggapan dalam keadaan kewangan yang lebih menjurus kepada perkara seperti COVID-19, kami perlu berbelanja secara berhemah.

"Bukan sahaja di peringkat MOM, malah dalam kalangan persatuan juga.

"Kami juga mengetatkan kualiti, kami tidak mahu pasukan yang dihantar menjadi belasahan," kata Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria.





Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjangkakan seramai 288 atlet akan mengikuti program latihan sepenuh masa selain merupakan kumpulan atlet berpotensi yang berupaya memungut pingat dalam tiga temasya utama yang terdiri daripada Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Program ini melibatkan 250 atlet (senior) dan 193 pelapis yang telah dibincangkan dengan pihak persatuan, mereka ini sudah membuktikan kemampuan.

"Kami akan bincang dengan mereka yang tidak berada dalam (program) MSN tentang bagaimana cara untuk membantu mereka, proses ini belum berlaku.

"Sesetengah daripada mereka mampu memenangi medal. Kami akan beri mereka ruang dan adakan perbincangan.

"Senarai 250 atlet ini akan bertambah dan jangkaan awal kami ialah 288 orang tidak termasuk pelapis," kata Ahmad Shapawi.