Presiden Persekutuan Snuker & Biliard Malaysia (MSBF), Melvin Chia, kekal menaruh harapan terhadap gandingan pemain berpengalaman, Moh Keen Hoo dan Lim Kok Leong, dalam misi menyamai pencapaian Sukan SEA 2019 dalam edisi di Vietnam dari 12 hingga 23 Mei depan.

Biarpun tuan rumah menggugurkan acara beregu lelaki yang menyaksikan gandingan negara meraih pingat emas dua tahun lalu, Melvin berasakan acara selebihnya memihak pengalaman pemain negara berbanding pencabar utama lain seperti Thailand dan Vietnam.

"Salah satu format pertandingannya yang menerapkan permainan pantas sememangnya menjadi pilihan Moh Keen Hoo. Dia pernah bergelar juara Asia 2014.

"Prestasi Lim Kok Leong kebelakangan ini juga memberangsangkan sebab tahap kejohanan yang disertainya agak tinggi dan dia juga dalam rentak kemenangan.

"Dia merupakan juara bertahan kebangsaan, dia masih muda dan masih berkembang.

"Banyak lagi yang boleh ditawarkannya selepas ini," kata Melvin.