Pelari pecut negara dari Australia, Russel Alexander Nasir Taib, berkemungkinan tidak dapat mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Hanoi bulan depan gara-gara kecederaan.

Dengan perkembangan terbaru itu, skuad olahraga negara mungkin terpaksa mempertaruhkan pelari muda, Azeem Fahmi, dalam misi mempertahankan pingat emas acara 100 meter.

Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, ketika dihubungi Nadi Arena hari ini, mengesahkan perkara berkenaan.

"Saya baru menerima salinan e-mel di mana pasukan Russel di Australia memaklumkan kepada KOM (Kesatuan Olaharaga Malaysia) mengenai kecederaannya.

"Tiada apa-apa makluman lanjut daripada mereka dan KOM dan saya juga masih menunggu keadaan sebenarnya, sama ada ia kecederaan ringan atau serius.

"Kami masih menunggu laporan penuh daripada pihak di Australia.

"Selepas mendapat laporan itu, barulah kami dapat membuat keputusan yang sewajarnya.

"Sekiranya ia berlaku, saya fikir kami masih mempunyai beberapa pelari pecut lain yang berkemampuan untuk menggantikan tempat Russel," katanya.