Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang mempertimbangkan barisan atlet dalam acara lompat tinggi lelaki dan 4x100 meter wanita ke Sukan SEA Hanoi dari 12 hingga 23 Mei depan.

Kesatuan itu akan memberi peluang terakhir kepada beberapa atlet untuk membuktikan keupayaan mereka dalam satu kejohanan pada 26 Mac ini.

Ia dijangka turut membabitkan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, yang sedia bersara sekiranya tidak terpilih ke temasya di Vietnam itu selepas gagal untuk mengiringi Nauraj Singh bagi kelayakan merit 2.15m yang ditetapkan.

Olimpian negara itu tewas kepada atlet muda dari Sabah, Eizlan Dahalan, dengan berkongsi ketinggian 2.10 meter dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, hujung minggu lalu.

"Buat masa ini kami memilih Eizlan kerana Hup Wei tidak layak ke Sukan SEA.

"Tapi berdasarkan pengalamannya, kami mungkin beri laluan kepadanya.

"Mungkin esok saya akan ke pejabat Majlis Olimpik Malaysia untuk berbincang dengan Setiausaha MOM, Datuk Nazifuddin Najib," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

Isnin lalu, KOM mengumumkan senarai 30 atlet ke temasya dwitahunan itu tetapi segala keputusan akan dimuktamadkan dalam satu lagi kejohanan demi memilih peserta terbaik.

Menurut Muthu lagi, satu lagi kejohanan di Bukit Jalil pada 26 dan 27 Mac ini juga akan menentukan slot 4x100m wanita.

"Ada atlet yang berada di tahap yang lebih baik ketika ini berbanding senarai awal yang sudah ditetapkan.

"Jadi mereka akan berpeluang untuk menentukan kedudukan ke Sukan SEA."

Antara nama yang menjadi calon bagi slot itu terdiri daripada Azreen Nabila Alis, Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatimah Mohamad, Nur Aishah Rofina Aling, Fatin Ilyana Mat Naya, S Komalam Sally dan Nor Sarah Hadi.