Semangat pesilat negara, Al-Jufferi Jemari, tetap membara untuk menghadapi separuh akhir Sukan SEA Hanoi 2021 biarpun berdepan ujian kecederaan di Pusat Sukan Bac Tu Liem, sebentar tadi.

Juara dunia 2016 itu mengesahkan kemenangan menerusi jatuhan terakhir Iqbal Chandra Pratama walaupun satu ketika terikat mata 39-39.

Pencabar dari Indonesia itu cuba mengambil kesempatan terhadap kecederaan tangan yang mula membelenggu Al-Jufferi dalam pusingan kedua kategori Tanding Putra F yang dipertandingkan buat pertama kali itu.

Namun, keputusan wasit sejurus menyambung baki 18 saat pertarungan itu dimanfaatkan sepenuhnya pemenang lima pingat emas temasya berkenaan.

"Saya bermain untuk keluarga, negara, Datuk Wira Megat (Zulkarnain Tan Sri Omardin) demi memartabatkan silat negara di persada dunia, terutama Sukan Olimpik (Paris 2024).

"Insya-Allah (saya akan terus bertarung)," katanya.





Sementara itu, Astro Arena mendapatkan perkembangan tahap kecederaan seorang lagi pesilat negara, Ahmad Atif Irshad Zahidi, yang turut mara.

Pencabarnya dari Filipina, Mark James Lacao, bertindak menumbuk mukanya sekali gus wasit memberikan kemenangan 3-1 kepada wakil kategori D negara itu.

Dia hampir pasti akan menarik diri dalam separuh akhir kerana mengakui masih terkesan dengan kejadian itu.

"Saya berasa sakit di bahagian sini dan belakang tengkuk.

"Kalau terhentak sedikit, saya akan berasa pening.

"Saya rasa tidak dapat teruskan," katanya.