Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, tidak terburu-buru untuk memecah rekod kebangsaan miliknya dalam Kejohanan Tertutup Malaysia di Lumut, Perak, yang bermula esok kerana baru pulih daripada kecederaan buku lali.

Hakimi baru menyertai satu kejohanan pada tahun ini, iaitu Terbuka Filipina, dua minggu lalu, yang menyaksikan dia berjaya mencipta jarak terbaik musim ini, 16.06 meter.

Ia masih jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 16.76m ketika meraih pingat emas Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meramalkan beberapa atlet akan memecahkan rekod kebangsaan di Lumut berdasarkan peningkatan prestasi sejak awal tahun ini.

Namun, Hakimi mempunyai pendirian berbeza.

"Saya kini bebas daripada kecederaan.

"Sasaran prestasi saya masih di peringkat awal tahun dan akan mencapai kemuncaknya dalam Sukan SEA nanti.

"Sasaran saya adalah untuk mendapatkan teknik lompatan terbaik dan membiasakan diri dengan suasana kejohanan.

"Dalam masa yang sama, saya mahu membuat catatan terbaik tahunan atau sekurang-kurangnya memperbaiki prestasi di Filipina," katanya.

Selain Hakimi, tumpuan turut terarah kepada dua lagi juara Sukan SEA, Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Nauraj Singh (lompat tinggi).

Begitupun, impian untuk menyaksikan kelibat raja dan ratu pecut, Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli, tidak kesampaian kerana mereka dijadual menamatkan program latihan di Afrika Selatan, minggu depan.