Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menasihatkan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam ketika upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur kerana menurut Timbalan Menteri Sukan, Datuk M. Saravanan, kesesakan dijangka teruk kerana 70 peratus tiket sudah dijual.

Kawasan sekitar Bukit Jalil dijangka sesak ketika upacara pembukaan, 19 Ogos ini.

Lebih 56,000 tiket sudah terjual dengan Stadium Nasional, Bukit Jalil mampu memuatkan lebih 80,000 tempat duduk.

Justeru, KBS menasihatkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, khususnya sistem transit aliran ringan atau bas.

"KBS mencadangkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi orang ramai yang ingin menyaksikan acara pembukaan Sukan SEA pada 19 Ogos," kata Saravanan ketika menghadiri majlis tajaan emas syarikat eletronik, Sony Malaysia Sdn Bhd, sebanyak RM3 juta hingga RM7.5j dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Dua minggu menjelang temasya dwitahunan itu, tiket untuk lima jenis sukan sudah habis dijual iaitu bola jaring, renang, pencak silat, terjun dan taekwondo.

Untuk itu, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) menasihatkan orang ramai membeli tiket awal bagi mengelak menjadi mangsa ulat tiket.

"Sebahagian daripada Stadium Nasional juga akan digunakan untuk menempatkan jemputan dan ahli-ahli persatuan dan kontinjen negara.

"Kapasiti stadium boleh memuatkan lebih 80,000 penonton, jadi saya berharap stadium akan penuh," ujar Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong.