Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzli Johan, mengesahkan venue acara itu di Empire City, Damansara Perdana, terpaksa ditutup selama 10 hari bermula Isnin depan untuk kerja-kerja menaik taraf, justeru sesi latihan akan dipindahkan ke Putrajaya.

Ia susulan beberapa masalah teknikal yang dikesan dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

Tindakan itu perlu diambil bagi memastikan venue ini mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa.

"Pihak Empire City telah menjalankan tugas mereka tanpa sebarang kelewatan dan mereka juga mendapatkan nasihat daripada Pengarah Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa, Hugo Herrnhof.

"Beliau telah memberikan satu senarai panjang mengenai apa yang perlu dilakukan untuk memastikan gelanggang ini bertaraf dunia," kata Fadzli.

Venue ini akan menganjurkan acara figure skating, short track dan hoki ais.

ISAM menyasarkan tiga pingat emas walaupun acara ini dipertandingkan buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA, bulan depan.

"Gelanggang ini bagus buat saya biarpun agak berkabus pada sebelah pagi.

"Permukaannya yang keras sangat sesuai untuk acara yang memerlukan lompatan seperti saya," kata atlet figure skating negara, Chew Kai Xiang.

Jurulatih short track negara, Tan Bee Leng, sebaliknya berkata anak buahnya memerlukan permukaan yang lebih lembut.