Sambutan Aidilfitri kali ini memberi erti tersendiri buat atlet berbasikal lebuh raya, Muhammad Fauzan Lutfi, apabila disenaraikan pada saat-saat akhir bagi acara ujian masa lebuh raya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Bagi Fauzan, dia berterima kasih kepada pengurusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) kerana menyenaraikan namanya.

Kini Fauzan bertekad membalas kepercayaan dengan meraih emas di laman sendiri.

"Memang saya menyasarkan pingat emas kali ini kerana kita muncul tuan rumah. Insya-Allah tahun ini saya akan berikan yang terbaik untuk meraih emas," kata Fauzan.

Atlet berusia 31 tahun itu bakal bergandingan dengan Nik Mohd Azwan Zulkifli, Ameen Ahmad Kamal dan M. Ameer Ahmad Kamal.

Fauzan tidak akan bercuti lama untuk sambutan Aidilfitiri kerana perlu segera menjalani persiapan menghadapi Sukan SEA.

"Raya pertama saya cuti tetapi saya akan memulakan latihan pada hari kedua di kampung terlebih dahulu dan kemudian menyambung latihan bersama rakan sepasukan lain di Kuala Lumpur," tambahnya.