Pemanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, bakal menghadapi tugas sukar untuk mempertahankan status juara bertahan esok apabila akan bertemu dengan pemanah utama Filipina, Amaya Amparo Cojuangco, dalam acara compound individu wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia menggalas harapan tinggi untuk memenangi pingat emas buat negara, namun pemanah kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu tetap merendah diri kerana tahu dia pasti tidak akan meraih laluah mudah.

Selain itu, harapan turut digalas tiga pemanah wanita negara, Saritha Cham Nong, Nor Rizah Ishak serta Nurul Sayzhera Mohd Asmi.

"Kalau saya tidak boleh fokus, itu adalah penghalang terbesar.

"Saya yakin jika saya fokus dengan kemampuan sendiri, saya akan mencapai sasaran yang ditetapkan, Insya-Allah," ujar Fatin.

Dalam masa sama, Amaya yang akan turun dengan gelaran pemanah ranking terbaik Asia Tenggara menyifatkan dirinya sudah benar-benar bersedia..

Dia yang menghuni ranking ke-29 dunia berazam untuk memburu emas ketiga peribadi dalam temasya dwitahunan itu selepas melakukannya pada tahun 2005 dan 2007.

"Dalam Sukan SEA di Singapura dua tahun lepas, saya kehilangan bapa mertua beberapa hari sebelum temasya.

"Kali ini, saya lebih bersedia," kata Amaya.