Kapten skuad futsal wanita negara, Farahiyah Muhd Ridzuan, ingin memastikan tiada lagi kecederaan membelenggu dirinya menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Farahiyah sebelum ini mengalami kecederaan di lutut kanan sewaktu di kem latihan pusat fasa 7.

Meskipun tahap kecergasannya sudah menunjukkan tanda positif, pemain berusia 23 tahun ini lebih berwaspada dalam latihan agar tidak berlaku lagi sebarang kecederaan serius yang boleh menyebabkan misinya dalam Sukan SEA terkubur.

Farahiyah -- yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak dalam saingan AFC 2015 -- adalah antara pemain yang diletakkan sandaran utama pasukan memburu pingat emas buat negara dalam temasya dwitahunan kali ini.

"Ketika saya mengutip kecederaan ini, saya perlu rajin menjalani sesi pemulihan sendiri.

"Tekanan itu sudah tentu ada, tambahan pula saya memikul tugas selaku kapten, jadi tanggungjawab itu lebih besar," ujarnya.

Tidak akan ke luar negara dalam masa terdekat, skuad negara kini hanya bersedia untuk berdepan perlawanan persahabatan berdepan Taiwan selepas hari raya Aidilfitri.

"Ketika ini, kami hanya menjalani latihan yang berat mengikut apa yang dirancangkan jurulatih," tambahnya.