Pingat Sukan SEA Kuala Lumpur akan menentukan hala tuju pelumba BMX negara, Muhammad Elmi Jumari, selepas dia berjanji kepada penaja yang sanggup membelanjakan RM10,000 untuk membantunya mencabar dalam temasya itu, bermula 18 Ogos ini.

Pelumba BMX itu terpaksa berdikari sebelum acara ini dimasukkan dalam Program Kita Juara, tahun lalu.

Antaranya, Elmi banyak menggunakan produk penaja, termasuk basikal yang akan menjadi senjatanya untuk menjuarai Kejohanan Pra-Sukan SEA di Trek BMX Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan sebelum berjuang merebut pingat Sukan SEA.

"Saya kena meluangkan lebih masa di dalam trek untuk mendapatkan perasaan selesa dengan keadaan trek dan angin semasa perlumbaan sebenar.

"Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedikit-sebanyak membantu dan selebihnya kami dapatkan penajaan," katanya.

Elmi menjuarai kategori elit dengan mengumpul tiga mata, mengatasi rakan sepelatih, Ahmad Syazrin Awang Ilah, yang turut berkongsi catatan sama, cuma dibezakan kiraan ujian masa manakala tempat ketiga milik pelumba amatur.

Dalam saingan elit wanita, juara menjadi milik pelumba negara, Noor Quraataina Mamat, yang mengatasi rakan sepelatih, Ariana Nurmainda Arifin dan Lyn Shaare, ketiga.

"Saya sedikit panik apabila rantai basikal terputus.

"Namun, saya berjaya memperbaiki persembahan saya dalam baki dua perlumbaan lagi," ujar Quraataina.