Berbaki hanya beberapa bulan sebelum ke Sukan SEA 2019 Filipina, November depan, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) yakin mampu meraih lebih banyak emas daripada sasaran yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Sukan SEA Filipina akan menjadi penyertaan pertama atlet sukan elektronik negara dalam temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

Ketua komunikasi ESM, Muhammad Farouq Abdul Patah, yakin pasukan negara mampu menyumbang sekurang-kurangnya tiga pingat emas daripada enam yang dipertandingkan.

"Jika kami menyertai acara Heartstone, Malaysia mampu meraih pingat emas sambil meletakkan harapan dalam acara Dota (Defence of The Ancient). Namun, yang ketiga, saya masih lagi 50-50 dengan peluang untuk meraih emas dalam acara Mobile Legends, Tekken 7 atau AOV (Arena of Valor)," katanya.

Tambahnya, ESM optimis perancangan yang akan dibentangkan kepada MSN esok merupakan perancangan terbaik untuk meraih pingat emas.

"Kami akan menyediakan kontrak sebelum menghantar atlet negara menjalani kem latihan dan menyertai beberapa kejohanan di peringkat antarabangsa sebelum Sukan SEA," tambahnya.

Sementara itu, penggantian acara NBA 2019 ke Heartstone, awal bulan ini tidak mengganggu persiapan dan perancangan ESM bagi temasya edisi ke-30 itu.