Jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Wai, mengharapkan kegemilangan yang pernah dikecapi dalam Sukan SEA 2001 berulang kembali, sekaligus mengatasi pencapaian 10 pingat emas yang diraih skuad gimnastik dalam Sukan SEA, 16 tahun lalu.

Penekanan Shu Wai lebih kepada mempertahankan emas dalam acara berpasukan yang dimenangi skuad negara di Singapura, dua tahun lalu.

Bekas atlet kebangsaan itu memiliki sebab mengapa kejayaan dalam acara berpasukan amat penting untuk Malaysia.

Tegas Shu Wai, emas berpasukan melambangkan konsistensi dan kekuatan sebenar yang dimiliki setiap negara, dengan Malaysia pernah membuktikannya dua tahun lalu.

Tidak hairanlah tugasan utama mereka Ogos nanti adalah mempertahankan emas bagi acara itu.

"Bagi saya, emas acara berpasukan lebih penting daripada emas acara individu.

"Ini kerana, ia akan menjadi bukti kekuatan sukan gimnastik sesebuah negara.

"Kalau pencapaian individu, hanya seorang sahaja yang akan menang.

"Saya berharap pasukan negara kita mampu mempertahankan emas yang dimenangi sebelum ini," katanya.

Bagi pemilihan akhir skuad kebangsaan, penelitian masih dibuat dan hanya akan diketahui penghujung Jun nanti selepas melewati tiga kejohanan antarabangsa.

Nama-nama seperti Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh, Tracie Ang dan Nur Eli Alliana Azmi, sememangnya berada dalam prestasi terbaik, begitupun Shu Wai tidak menafikan akan ada perubahan lain membabitkan atlet remaja.

"Mereka masih konsisten dalam sukan gimnastik kerana sering meraih kedudukan tiga teratas.

"Maka, saya tidak berapa risau mengenai mereka. Cuma apa yang saya bimbangi adalah peserta kelima sehingga kelapan.

"Oleh itu, saya akan mengadakan kejohanan lagi untuk saya menilai prestasi mereka supaya saya dapat membentuk skuad terbaik untuk Sukan SEA nanti."