Jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohamad Dhaarma Raj Abdullah, memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak bermegah-megah dengan kredibiliti mereka menjelang saingan Sukan SEA.

Sukan SEA bukan medan sebenar untuk skuad hoki negara, baik wanita mahupun lelaki, ekoran Malaysia berada dalam liga tersendiri.

Bagaimanapun, Dhaarma tidak mahu situasi itu membuatkan anak buahnya mendabik dada, apatah lagi memandang rendah kemampuan pasukan lawan.

Tegasnya, setiap daripada pemain negara perlu tampil profesional dalam setiap perlawanan.

"Sudah tentu, saya tidak mahu pemain mengambil sikap sambil lewa.

"Saya mahu pemain menghormati pihak lawan meskipun ada jurang besar dalam ranking," katanya.

Skuad hoki wanita sudahpun memulakan sesi latihan di venue perlawanan kelmarin, namun keadaan padang yang masih baru sedikit menyulitkan sesi latihan, terutama membabitkan kelajuan bola setiap kali pemain membuat pukulan.

"Karpet masih lagi tebal, jadi pergerakan bola dilihat agak perlahan. Latihan pukulan sudut penalti, terutama ketika tolakan pertama, agak perlahan," tambah Dhaarma.