"Saya layak beraksi dalam 100 meter,"itu komen pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, selepas muncul pelari kedua terpantas negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Jonathan mencipta 10.28 saat untuk menduduki tempat kedua dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan di Jeongseon, Gangwon-do, kelmarin.

Merekodkan masa terpantas yang dicatatkan atlet Malaysia tahun ini, pecutan anak buah Watson Nyambek itu berjaya memperbaiki catatan peribadinya, 10.36 saat, yang dicatat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, tahun lalu.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu kini kedua terpantas di belakang Khairul Hafiz Jantan yang memecah rekod kebangsaan, 10.18 saat, dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.

"Berdasarkan catatan masa, saya memang layak (beraksi dalam Sukan SEA) apabila berada di ranking kedua bagi acara 100 meter.

"Saya anggap catatan masa itu sebagai peluang buat saya," katanya.

Selain pemburuan dalam acara riben biru itu, larian cemerlang Jonathan hampir pasti menempatkan dirinya dalam kuartet 4x100 meter untuk misi emas dalam Sukan SEA.

"Malaysia berpeluang untuk meraih pingat, cuma belum dapat dipastikan jenis kilauannya sahaja.

"Berdasarkan catatan peribadi setiap peserta negara ketika ini untuk kuartet 4x100 meter, semuanya bagus," tambahnya.

Jonathan ditemui sejurus tiba di tanah air dari Korea, semalam, bersama atlet olahraga lain kecuali atlet baling tukul besi, Jackie Wong, yang meneruskan latihan di sana.