Ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir, mengesahkan seramai 26 pesilat yang bakal dipilih menyertai temasya Sukan SEA telah disenarai pendek.

Begitupun, ia bukan senarai muktamad dan penilaian berterusan akan dibuat sehingga Mei nanti.

Seramai 26 pesilat negara akan dipilih daripada kalangan 29 atlet bagi membawa cabaran pesilat negara dalam temasya dwi-tahunan itu pada 19 hingga 31 Ogos depan.

Mereka yang terpilih kebanyakkannya adalah terdiri daripada penilaian awal dalam Kejohanan Silat Asia Tenggara tempoh hari, yang menyaksikan Malaysia meraih sembilan pingat emas secara keseluruhan.

Bagaimanapun, Nasri memberi peringatan kepada anak buahnya untuk tidak terlalu selesa dengan pencapaian semasa kerana masih ada tempoh sehingga Mei ini untuk pesilat lain merebut peluang beraksi dalam Sukan SEA.

"Kejayaan dalam kejohanan pra-Sukan SEA baru-baru ini merupakan permulaan kami untuk mencapai kejayaan dalam Sukan SEA nanti.

"Atlet telah menampakkan semangat yang tinggi, saya harap mereka akan mencapai kemuncak prestasi (pada Ogos) nanti.

Bermula 9 April, lima atlet yang berada di bawah Program Podium bakal ke Uzbekistan bagi menjalani sesi latihan khusus, sebelum kesemua pesilat olahraga akan dibawa menyertai Kejohanan Terbuka Belgium pada 1 Mei.

"Kami melihat perancangan itu mempunyai kelebihan yang tersendiri, walaupun kita lihat silat Uzbekistan bukanlah kuat.

"Tapi dari aspek lain, mungkin dari segi fizikal mereka agak baik, jadi kami ingin menguji atlet-atlet kita di sana."