Jurulatih boling padang negara, Simon Botha, masih meletakkan harapan tinggi boling padang akan tersenarai dalam Sukan SEA Filipina 2019 walaupun hanya lima negara, termasuk Malaysia, memberi sokongan melalui majlis Olimpik negara masing-masing.

Buat masa ini, katanya, selain Malaysia dan Filipina, negara lain yang turut menyatakan sokongan ialah Thailand, Singapura dan Brunei.

Di atas kertas, tampak sukar untuk boling padang tersenarai dalam Sukan SEA 2019 kerana tidak banyak sokongan, namun Botha percaya pihak penganjur akan melihat kepada faktor lain sebelum keputusan rasmi diketahui Sabtu ini.

"Hanya negara yang bertanding tahun lalu dalam temasya KL2017 yang mahu menyertainya sekali lagi, ditambah dengan satu atau dua negara lain.

"Jadi, ia akan menjadi sangat mengecewakan jika boling padang tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA di Filipina," katanya.

Dalam pada itu, Botha pada awalnya hairan tindakan penganjur Sukan SEA 2019 mengetepikan boling padang dalam senarai awal 30 sukan yang akan dipertandingkan di Filipina.

Menurutnya, Filipina ada kekuatan kerana dibarisi ramai pemain yang baik selain kemudahan gelanggang mencukupi.

Kejayaan hanya meraih satu daripada lapan emas di KL2017 kurang wajar dijadikan perbandingan bahawa Filipina tidak mampu memberi saingan.

"Saya sejujurnya fikir Filipina mempunyai pasukan yang kuat dan mereka boleh melakukan dengan lebih baik berbanding satu emas sebelum ini.

"Saya tidak fikir ia menjadi faktor (pengguguran). Ini adalah salah satu sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Komanwel," katanya lagi.