Skuad bola tampar wanita negara meraih kemenangan motivasi dalam aksi persahabatan sebelum memulakan saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada 23 Ogos ini.

Purata umur barisan pemain negara ialah dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun, namun ia bukan satu penghalang untuk mereka mempamer aksi meyakinkan ketika menentang pasukan Universiti Tianjin China di Dewan 7, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Skuad kendalian Datuk Moh Wung Ming itu mencatat kemenangan 23-25, 25-21, 25-18, 25-19, 17-19.

Ia merupakan pembakar semangat untuk skuad negara kerana mereka bakal berhadapan dengan Vietnam dan Filipina dalam Kumpulan B, Sukan SEA.

Dua tahun lalu di Singapura, kempen skuad negara dalam temasya itu tidak begitu membanggakan apabila tewas semua empat perlawanan di peringkat kumpulan, akhirnya menamatkan saingan di tempat ketujuh secara keseluruhan.

"Sudah tentu kami harus cemerlang kerana kita adalah negara penganjur. Bagaimanapun, apa jua boleh berlaku di sini," kata Wung Ming.

Bagi mengelak episod malang itu berulang, skuad negara mendapatkan khidmat nasihat jurulatih dari Thailand, Sanong Kulchim, yang merupakan pembimbing skuad bola tampar dari Universiti Rangsit, Bangkok.

"Dia memulakan tugas sejak bulan lepas. Motivasi kami bertambah dan sehingga sekarang, saya belum nampak ada pemain yang tidak bersemangat," kata kapten pasukan, Stephanie Law.