Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan Azizulhasni Awang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.

Menurut Naib Presiden PKBM, Omar Saad, Azizulhasni sudahpun memberi persetujuan beraksi dalam dua acara itu walaupun sebelum ini hanya memberi persetujuan untuk bersaing dalam acara keirin.

Omar yang juga pengurus skuad berbasikal Sukan SEA, optimis Azizulhasni tidak berdepan masalah untuk mendominasi dua acara itu nanti.

"Insya-Allah, kalau tiada apa-apa halangan, Azizulhasni akan turut serta," ujarnya.

PKBM menyasarkan 11 emas dalam saingan trek dan dua lagi emas menerusi acara lebuh raya.

Dalam pada itu, Omar mengesahkan atlet trek berbasikal berpengalaman, Fauzan Lutfi, turut disenaraikan dalam edisi kali ini.

"Khidmat Fauzan disenaraikan sendiri oleh Syed Mohamad Hussin Syed Mazlan (jurulatih).

"Sejak akhir-akhir ini, dia mempamerkan prestasi yang meyakinkan."