Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, mengakui prestasi cemerlang Muhammad Azam Masri di Afrika Selatan memberi pilihan tambahan buat kuartet 4x100 meter dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Azam kini merupakan pelari kedua terpantas negara susulan kejayaannya mencatat masa 10.22 saat dalam Kejohanan Speed Series 2 di negara berkenaan, semalam.

Menariknya, dia melakukan catatan itu dengan reputasi selaku atlet 400 meter negara.

"Walaupun fokusnya dalam 400 meter, kami dapat melihat bahawa kebolehan dan kepantasannya memberi kelebihan kepada kuartet 4x100m lelaki negara selepas kita mempunyai Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Jonathan Nyepa.

"Dengan kehadiran Azam Masri, dia mungkin memberi pilihan tambahan kepada kuartet 4x100m negara," katanya.

Khairul Hafiz muncul atlet pecut terpantas negara pada Julai lalu dengan mencatatkan masa 10.18 saat bagi meleburkan rekod kebangsaan milik Watson Nyambek, 10.30 saat.

Selain Azam, turut berpeluang menyertai kuartet 4x100m adalah atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah.