Pemain ping pong negara, Mohd Ashraf Haiqal Muhamad Rizal, menjadi taruhan terbaik buat Malaysia untuk layak ke final acara perseorangan lelaki menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ketika pemain senior, Muhd Shakirin Ibrahim, sudah mula mencongak waktu di ambang persaraan, Ashraf dilihat sebagai prospek utama bagi meraih pingat buat negara selaku tuan rumah selepas memegang status selaku juara kebangsaan.

"Dulu memang orang lebih bercakap tentang Shakirin kerana dia juara kebangsaan tetapi sekarang mungkin dia sudah agak berusia.

"Malaysia memang memerlukan pengganti dan saya berharap agar dapat menjadi salah seorang daripada penggantinya," ujar Ashraf.

Pemain yang berasal dari Yan, Kedah itu bakal membuat penampilan keempat dalam Sukan SEA, namun seringkali tenggelam kerana kehebatan Shakirin, sekaligus bertekad untuk menjadikan peluang beraksi di laman sendiri sebagai medan terbaik untuk membuktikan kehebatannya.

Dalam masa sama, Shakirin mengakui dia bakal menamatkan karier bersama skuad kebangsaan dan berhasrat mahu membantu mengenal pasti bakat-bakat baru buat sukan ping pong di Malaysia.

"Saya akan berhenti daripada skuad kebangsaan dan perancangan peribadi saya adalah mewujudkan akademi sendiri demi melahirkan pelapis-pelapis baru," ujar Shakirin.

Skuad ping pong negara menyasarkan tiga gangsa daripada tujuh emas yang ditawarkan dalam temasya KL2017 selepas meraih satu perak dan tiga gangsa dalam saingan di Singapura dua tahun lalu.