Biarpun baru pulih daripada kecederaan buku lali kanan yang menimpanya pada awal tahun ini, G. Aravinn Thevarr masih mampu melakar masa terbaik untuk merebut tempat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.

Aravinn terpaksa berehat selama dua bulan ekoran kecederaan itu dan ia tidak sedikit pun menghalangnya melakar masa terbaik dalam acara pecut 200 meter.

Paling membanggakan, dia berjaya melakukan catatan peribadi terbaik, 21.04 saat, dalam Kejohanan Olahraga Singapura, April lalu, untuk melepasi had kelayakan Sukan SEA, 21.05 saat.

Terbaru, dalam Terbuka Thailand, 12-15 Jun lalu, Aravinn merangkul pingat gangsa biarpun hanya mencatat 21.47 saat.

"Saya baru sahaja pulih daripada kecederaan.

"Oleh sebab itu, saya hanya memberi fokus kepada acara kegemaran saya, iaitu 200m," kata atlet kelahiran Perak itu.

Biarpun senarai akhir masih belum diumumkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Aravinn dilihat sebagai prospek terbaik selepas jaguh pecut Sukan Malaysia (Sukma), Khairul Hafiz Jantan.

Senarai rasmi atlet olahraga yang akan mewakili Malaysia dalam temasya Ogos nanti hanya akan diputuskan selepas tamat Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, 17 Julai depan.

"Secara dasarnya, saya adalah pelari terbaik kedua selepas Khairul Hafiz.

"Untuk itu, saya akan terus berusaha untuk memberikan aksi terbaik."