"Saya sudah mula membiasakan diri seperti hari pertandingan," itu pengakuan penembak negara, Alia Sazana Azahari, yang enggan mengambil mudah cabaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi melunaskan misi mempertahankan pingat emas.

Kurang tiga minggu sebelum temasya KL2017 menyingkap tirai secara rasmi 19 Ogos ini, debarannya tampak kian dirasai oleh semua atlet.

Tidak terkecuali, Alia selaku penembak harapan negara setelah cemerlang pada edisi Singapura dua tahun lalu menerusi emas acara 25 meter pistol individu wanita.

Alia, yang kini giat melakukan persiapan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, mengakui sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi tugasan lebih getir kali ini.

"Saya mula membiasakan diri seperti hari pertandingan setiap hari, ia membenarkan saya untuk mudah mendapatkan momentum dalam Sukan SEA," katanya.

Penembak berusia 25 tahun ini berjaya meraih emas dalam Kejohanan Menembak Kebangsaan baru-baru ini.

Enggan meletakkan dirinya dalam tekanan, Alia percaya momentum itu mampu dikekalkan dalam temasya KL2017.

"Saya memiliki keyakinan selepas cemerlang dua tahun lalu, saya mahu mengulangi pencapaian itu dalam kejohanan edisi kali ini."