Olahragawan negara, Al-Jufferi Jamari, lega tidak lagi dibebani status sebagai juara dunia apabila turun di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, malah dia bersedia untuk memikul tanggungjawab jika diberi mandat sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia.

Ketika ini, identiti siapa yang akan menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam temasya KL2017 masih jadi tanda tanya.

Di sebalik pelbagai spekulasi, Malaysia beruntung mempunyai kelompok atlet berwibawa untuk memikul tugas ini.

Kredibiliti Al-Jufferi yang berulang kali menawan pentas tertinggi silat dunia hanya mengukuhkan statusnya sebagai pilihan peminat sukan tanah air.

"Saya sentiasa bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk Malaysia. Saya tiada masalah untuk membawa bendera untuk Malaysia. Jika dipilih, saya akan melakukannya," katanya.

Al-Jufferi akan menjadi antara sebilangan atlet elit yang akan membawa gelaran juara dunia di KL2017 seperti jaguh berbasikal, Azizulhasni Awang, dan bintang terjun, Cheong Jun Hoong.

Sebelum ini, dia akur terkesan dengan kemungkinan tewas di sebalik taruhan reputasi terbaik dunia.

"Pada mulanya, saya agak tertekan dengan reputasi saya. Tetapi selepas menerima nasihat daripada jurulatih dan beraksi di laman sendiri, ia meningkatkan semula semangat saya untuk memberikan yang terbaik."