Sukan SEA Kuala Lumpur terus mendapat penajaan, dengan yang terbaru syarikat AEON selaku penaja perak dalam kategori penajaan di antara RM1 juta hingga RM3 juta yang menyaksikan jumlah keseluruhan tajaan kini adalah melebihi RM100 juta.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, yang hadir ke Majlis Penajaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Ke-29 hari ini, menganggap penajaan terakhir itu telah melengkapkan persiapan temasya dwitahunan itu secara menyeluruh.

Selain itu, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) turut menerima 18 penaja gangsa yang menyumbang wang tunai serta barangan.

"Saya dengan bangga mengumumkan kita telah mencari sasaran awal, iaitu sumbangan daripada pihak swasta sebanyak RM80 juta dan kita telah berjaya mendapat sumbangan tersebut.

"Ia sungguh luar biasa kerana melebihi sasaran," kata Saravanan.