Bekas kapten futsal negara, Addie Azwan Zainal, melihat kejayaan skuad negara meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Futsal AFF 2016 satu pencapaian yang baik menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos nanti.

"Satu pencapaian yang baik bagi memulakan musim 2017. Daripada aspek permainan, pada saya dalam tempoh latihan yang agak pendek untuk menduduki tempat ketiga sememangnya amat baik," ujarnya.

Addie, yang pernah meledak hatrik dalam kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam saingan Futsal Sedunia Kuala Lumpur 2008, berpendapat masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

"Apa yang merencatkan pencapaian mereka adalah mereka menang ke atas Indonesia tetapi tewas kepada Myanmar. Jadi, senario itu membuktikan ada beberapa perkara yang harus diperbaiki.

Skuad kendalian Chiew Chun Yong itu hampir melakar kejutan ke atas Thailand di peringkat separuh akhir apabila mendahului 3-0 sebelum kembali dikejar untuk tewas 5-3.

"Ketika berdepan Thailand, skuad negara bermain dengan cukup baik. Kita tidak pernah mendahului 3-0 berdepan mereka sebelum pihak lawan bangkit menewaskan skuad negara," tambahnya.

Dia, yang pernah bertindak selaku penolong jurulatih kepada Marcelo Serpa sebelum ini, turut menggesa anak buah Chun Yong untuk beraksi dengan lebih bijak, apatah lagi ketika berdepan lawan yang kuat.

"Pada saya, pemain perlu lebih bijak untuk menghadapi situasi itu. Saya yakin jurulatih telah mengagihkan tugas masing-masing tetapi ada pemain yang kadang kala hilang fokus.

"Kerana itulah, apabila kita mula bolos, pihak lawan mudah untuk mencari gol kedua dan ketiga."

Sementara itu, Addie turut meluahkan keyakinannya terhadap kredibiliti Chun Yong untuk membawa skuad futsal ke final Sukan SEA nanti.

"Sebagai pencinta futsal, saya rasa tidak mustahil skuad negara mampu mara ke final. Cuma saya berharap barisan jurulatih dapat melahirkan pemain berdisiplin yang akan membantu skuad negara, bukan sekadar mewakili negara," jelasnya.