Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan semua atlet kebangsaan yang diuji sehingga bulan ini bebas daripada menggunakan bahan terlarang untuk mencapai aspirasi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.

Setakat ini, hampir 400 sampel dalam kalangan atlet yang akan bersaing dalam dua temasya itu telah diambil dan diuji sejak Oktober tahun lalu, dan kesemuannya bebas daripada gejala doping.

Pihak ADAMAS akan meneruskan ujian sehingga mencapai 200 sampel lagi sehingga bulan depan.

Ia rekod yang lebih baik jika dibandingkan pada tahun lalu apabila 14 atlet positif daripada 935 sampel manakala pada tahun 2015, tujuh atlet positif daripada 975 sampel.

"Itulah sebabnya kami mahu Sukan SEA kali ini tiada kes doping, sama seperti Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu. Memang tiada kes di sana. Kami mahu kekalkannya.

"Saya juga memaklumkan kepada negara-negara lain untuk membuat ujian masing-masing sebelum datang ke Malaysia. Ia bagi memastikan semua atlet Sukan SEA bukan sahaja dari Malaysia tetapi semua negara lain bersih," kata Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.

Sebagai persediaan untuk menghadapi temasya dwi-tahunan itu, ADAMAS yang diberi tanggungjawab oleh Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) juga telah menambah bilangan tenaga kerja.

"ADAMAS telah diberi amanah oleh SEAGF untuk menjalankan ujian anti doping. Kami mempunyai 70 orang tenaga kerja yang dilatih. Mereka akan akan menjalankan ujian ketika berlangsung Sukan SEA," jelasnya.