Skuad polo air lelaki negara keluar daripada bayangan pasukan belasahan apabila hampir memalukan Indonesia dalam aksi sulung Sukan SEA 2017 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, pagi tadi.

Pemain negara, Fam Jia Yi, menyifatkan kekalahan tipis 4-3 itu sebagai petanda positif untuk menamatkan kemarau pingat sejak 2005.

Turun dengan reputasi selaku bukan pilihan, bagaimanapun, apa yang ditunjukkan oleh kapten pasukan, Khoo Tiong Jinn, dan rakan-rakan mengejutkan banyak pihak.

Tuan rumah mempamerkan semangat juang tinggi apabila dua kali mengikat kedudukan sebelum akur dengan kekalahan pertama.

"Berbanding pertandingan Sukan SEA edisi lalu, kami banyak mengurangkan margin. Kali ini, kami hanya kalah dengan perbezaan satu jaringan. Kami telah memberikan yang terbaik," kata Jia Yi.

Sementara itu, Tiong Jinn menambah: "Selepas perlawanan ini, sebenarnya saya fikir saya mahu rasa lebih yakin agar dapat menyampaikan masej kepada rakan sepasukan."

"Ia kerana keputusan menentang Indonesia tidak seperti dijangka (kalah tipis), berbanding Sukan SEA sebelum ini. Semua orang harus lebih yakin dan memberikan yang terbaik menentang Filipina dan Thailand.

Tuan rumah dua kali mengikat Indonesia selepas suku kedua menerusi Mohd Irsyad Syahir Abd Rahim dan Jia Yi.

Selepas rehat, Indonesia, pemenang perak dua tahun lalu, menambah dua lagi gol menerusi Yusuf Budiman dan Ridjkie Mulia.

Jia Yi merapatkan kedudukan menerusi gol ketiga, malangnya terpaksa akur dengan kekalahan sulung.

"Malaysia sudah jauh meningkat berbanding dua tahun lalu. Perlawanan yang sengit apatah lagi dua babak pertama mereka mampu mengikat kedudukan 2-2. Jadi, Malaysia sudah berkembang jauh," kata kapten Indonesia, Rezza Auditya Putra.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam polo air ialah menerusi pasukan wanita dalam Sukan SEA Indonesia 2011 yang membawa pulang gangsa.

Bagi pasukan lelaki pula, kali terakhir mereka menjejak kaki di atas podium ialah pada edisi 2005 di Manila, juga dengan kilauan gangsa.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah memenangi emas dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita sejak acara polo air diperkenalkan pada edisi 1965 di Kuala Lumpur.