Had kelayakan Sukan SEA 2019 yang lebih ketat menuntut pelari pecut berpengalaman, Siti Fatimah Mohammad, mencari tonik terbaik untuk mengulangi pencapaian 11 tahun lalu dalam usahanya untuk layak ke temasya dwitahunan itu.

Bergerak secara solo tanpa bantuan jurulatih sejak dua tahun lalu tidak menghalang atlet dari Johor itu untuk cuba layak ke Sukan SEA buat kali keempat berturut-turut.

Namun, cabaran besar buatnya adalah cuba untuk mencapai catatan 11.74 saat bagi acara pecut 100 meter yang menjadi syarat kelayakan kategori A yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Catatan itu menyamai masa pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Zaidatul Husniah Zulkifli, dengan kali terakhir dia pernah berlari dalam lingkungan masa tersebut adalah 11 tahun lalu, iaitu ketika mengungguli pingat emas Sukan Universiti ASEAN 2008 dengan melakar 11.77s.

"Saya sentiasa menetapkan sasaran, sama ada ia kejohanan besar atau kecil, kerana saya mahu mewujudkan tekanan kepada diri sendiri.

"Catatan terbaik saya ketika ini adalah 11.9s manakala had kelayakan Sukan SEA, 11.7s.

"Insya-Allah saya akan lakukan yang patut," katanya.

Pelari pecut itu kini nenpunyai tempoh sehingga September depan untuk mencapai misi tersebut.

Dia akan terbang ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, untuk menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam, bermula 17 Julai depan.

"Saya akan cuba berjuang dalam acara 100m dan 400m dan pelari negara yang melakukan catatan terbaik akan terpilih," katanya lagi.