Jaguh 110m berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, berlepas ke Leipzig, Jerman, hari ini untuk berlatih dan menyertai lapan kejohanan dengan misi melepasi catatan 13.70 saat.

Pelari kelahiran Sabah itu kembali pulih selepas tangan kanannya patah ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, April lalu, sehingga menerbitkan kegusaran untuk melihatnya mempertahankan pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Selepas dua bulan, dia kini sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan pertamanya sepanjang program di Eropah selama 80 hari.

"Saya ingin mengembalikan tahap keyakinan di Jerman dan rentak terbaik dengan menyasarkan catatan di bawah 14 saat terlebih dahulu.

"Saya akan menyertai tujuh atau lapan kejohanan di sana dan selepas lima kejohanan, barulah saya menyasarkan 13.7s," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Rayzam Shah turut menjelaskan dia sudah mendapat lampu hijau daripada doktor untuk berlatih sepenuhnya.

"Kesakitan saya sudah berkurangan meskipun belum di tahap 100 peratus.

"Saya belum boleh membuat senaman berat di bahagian atas badan manakala dibolehkan mengikuti sesi di gimnasium.

"Saya dibenarkan doktor untuk berlatih 100 peratus," kata pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67 saat itu yang dilakukan pada 2017.