Jaguh 110m berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, menghadirkan petanda positif untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan apabila bakal menyertai kejohanan sulung hujung bulan ini selepas pulih daripada patah tangan.

Rayzam terpaksa berehat dua bulan ekoran patah tangan setelah terjatuh dalam final Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, April lalu.

Sejak itu, dia menerima rawatan di Kota Kinabalu, Sabah, yang memaksanya terlepas banyak kejohanan antarabangsa, termasuk Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATP) di Doha, Qatar.

Namun, juara bertahan Sukan SEA berkenaan memberi petanda positif apabila kembali menjalani latihan selepas mendapat kebenaran doktor.

"Tahap kesihatan saya semakin pulih dan bagus.

"Saya sudah dibenarkan menyambung latihan, cuma dilarang melakukan senaman yang memberi tekanan kepada bahagian atas badan dan kebanyakannya di bahagian tangan.

"Saya sudah pun mula berlatih larian pagar seperti biasa dan akan mula menyertai kejohanan di Jerman, hujung bulan ini," kata pemenang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67 saat yang dilakukan pada 2017 itu.

Pelari berusia 31 tahun itu juga berpeluang layak ke Kejohanan Dunia, November depan sekiranya melepasi had kelayakan 13.46s.