Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, bimbang jumlah acara Sukan SEA Filipina 2019 November depan akan dikurangkan susulan konflik dalaman yang melanda Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), lima bulan menjelang temasya berkenaan.

POC akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM), Selasa depan, untuk memilih presiden baru selepas Suruhanjaya Sukan Filipina tidak mengiktiraf pemilihan Jose Romasanta.

Naib presiden 1 POC itu mengumumkan pelan menangguhkan temasya dwitahunan itu kepada suku pertama tahun depan ekoran masalah urus tadbir Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) selain membayangkan pengguguran beberapa jenis sukan.

"Kalau PHISGOC mahu menggugurkan beberapa sukan, maka MOM mengharapkan ia tidak melibatkan sukan-sukan yang akan Malaysia sertai.

"Banyak sukan yang kita tidak pernah dengar, jadi kami mengharapkan PHISGOC agar melihat semula perkara ini.

"Kalau ada sukan yang akan digugurkan, biarlah ia terdiri daripada sukan yang tidak mempunyai penyertaan ramai," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina, William Ramirez, bagaimanapun memberi jaminan bahawa Sukan SEA akan tetap dianjurkan mengikut jadual selepas mendapat arahan presiden republik itu, Rodrigo Duterte.

POC turut merancang untuk mengadakan mesyuarat khas Persekutuan Sukan SEA (SGF) dalam masa terdekat untuk menerangkan perkembangan terkini kepada 10 negara peserta.

"Banyak program yang tuan rumah telah anjurkan. Kalau boleh, biarlah ia tetap diadakan pada November.

"Tetapi, kita harus menunggu keputusan AGM POC. Selepas itu, mesyuarat tergempar SGF akan diadakan dan daripada situ, kita akan mendapatkan kepastian yang lebih terperinci," katanya lagi.

Sementara itu, program latihan atlet negara kekal rancak meskipun penganjurannya masih lagi tidak menentu.

"Atlet akan tetap meneruskan program latihan seperti biasa.

"Buat masa ini, masa masih panjang melainkan Filipina mengumumkan penangguhan Sukan SEA 2019, dua bulan sebelum ia bermula, maka ia akan sangat bermasalah," kata pelari 110m berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian.

Turut mengulas, jurulatih negara, Lee Jae-hyung, yang mengakui sasaran utama skuad memanah tahun ini adalah Sukan SEA.

"Sebagai persediaan, kami akan menyertai dua Grand Prix Memanah Asia, Ogos dan September depan, disusuli Kejohanan Asia pada November," katanya.

Atlet para negara, Ridzuan Puzi, turut sependapat sambil mendedahkan program persiapan mereka.

"Program berlangsung seperti biasa.

"Kami akan berlatih di luar negara selama dua bulan, kemudian pulang ke Malaysia pada September dan menyambung persiapan di negara sendiri sebelum ke Filipina," katanya.