Ketua jurulatih skuad ragbi 7's negara, Saizul Hafifi Mohd Nor, terpaksa memilih calon kapten baru, iaitu Amir Nasrun Zulkifli, bagi menggantikan Zulkiflee Azmi yang masih samar untuk menyertai pasukan negara bagi menghadapi Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Amir dipilih berdasarkan pengalaman luasnya bersama skuad kebangsaan dan sudahpun dua kali membuat penampilan dalam Sukan SEA, iaitu di Singapura (2015) dan seterusnya Kuala Lumpur (2017).

Amir secara peribadinya berat untuk menerima lilitan kapten, namun sempat membuat perbincangan dengan mantan kapten, Zulkiflee, sebelum menyahut cabaran itu dengan berazam memimpin misi pasukan untuk mempertahankan pingat emas.

"Saya berdepan tugas berat dalam Sukan SEA 2019 kerana bakal memikul tugas sebagai ketua pasukan.

"Jadi, suka atau tidak, saya perlu sahut cabaran ini dan mengetuai pasukan," kata Amir, yang bakal berlepas ke Sapporo, Jepun, Sabtu depan di samping pasukan untuk menghadapi Kejohanan Pirika Moshiri.

Bagaimanapun, sekiranya Zulkiflee sempat mendapat pelepasan daripada menjalani Kursus Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amir sedia melepaskan lilitan itu kepadanya semula.

"Saya telah berbincang dengan rakan-rakan dan Zulkiflee sendiri yang menyarankannya kerana dia tahu kemampuan saya," tambah Amir.