Pasukan ping pong negara akan berkelana selama satu setengah bulan di China sebelum terbang ke Bangkok untuk menghadapi Kejohanan Terbuka Thailand dari 29 Mac hingga 2 April.

Skuad ping pong lelaki dan wanita akan berkampung di dua venue berbeza ketika berada di China dari 12 Februari hingga 25 Mac, termasuk menghadapi beberapa perlawanan ujian.

Menurut jurulatih, Beh Lee Wei, pasukan lelaki akan berada di Beijing sementara wanita pula ditempatkan di Hebei.

Dia optimis pendedahan selama enam minggu itu mampu meningkatkan keyakinan serta kualiti pemain-pemainnya.

"Berlatih di China memang bagus kerana ramai pemain hebat di sana dan corak permainan mereka juga berbeza.

"Saya harap faktor ini akan membantu atlet negara," ujarnya.

Menjelang lapan bulan lagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Lee Fong percaya misi menggapai emas masih sukar direalisasikan jika dilihat kepada kekuatan semasa Singapura.

Namun, kelebihan beraksi di laman sendiri diharap mampu menjadi pemangkin terhadap semangat atlet-atletnya untuk mencipta sensasi.

"Pasukan wanita Singapura bukan sahaja handal di peringkat Asia Tenggara, malah di dunia.

"Susah sikit nak lawan mereka dan saya berasakan mereka akan bersedia untuk kejohanan ini."