Jurulatih boling padang negara, Syed Mohammad Syed Akil, melihat syarat penyertaan seramai 10 pemain bagi setiap kategori lelaki dan wanita dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mampu memberi kelebihan kepada Malaysia.

Menurut Syed Mohammad, berdasarkan syarat ini, setiap atlet hanya dihadkan mengambil bahagian dalam satu acara.

Situasi itu memberi kelegaan kepada kem negara berdasarkan kekuatan seimbang yang dimiliki barisan pemain Malaysia berbanding negara pencabar lain.

Malah, dia berasakan pemainnya mampu memberi lebih fokus dalam setiap acara yang disertai.

"Itu strategi pihak kita sebagai tuan rumah untuk memecah monopoli Filipina yang dilihat memiliki skuad wanita yang mantap.

"Kami mahu pecahkan pemain mereka kepada acara-acara lain untuk membolehkan kami mencapai sasaran kami," kata Syed Mohammad.

Dalam masa sama, dia berharap Kejohanan Boling Padang Asia Ke-12 yang dirancang pada September di India dapat diawalkan dari tarikh asal.

Dia melihat kejohanan itu mampu meletakkan pemainnya berada dalam keadaan lebih bersedia untuk menghadapi Sukan SEA nanti.

"Saya dapat tahu daripada pihak persatuan bahawa jadual 'Piala Asia' mungkin diubah sebelum Sukan SEA.

"Oleh itu, saya dapat mencuba pemain-pemain negara menghadapi peringkat yang lebih tinggi daripada Sukan SEA.

"Kalau boleh dianjurkan sebelum Sukan SEA, Alhamdulillah..."