Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, melahirkan kegembiraan apabila 11 negara Asia Tenggara sedia memberi komitmen untuk mengadakan larian baton sempena Sukan SEA Kuala Kumpur, bermula di Bandar Seri Begawan, Brunei, Ahad ini.

Larian baton akan diadakan buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA selepas negara serantau itu bersetuju mengambil bahagian, sekali gus mengangkat reputasi Malaysia sebagai tuan rumah ke satu tahap lebih tinggi.

Larian itu akan bermula di Brunei dan tamat di Singapura sebelum tuan rumah, Malaysia mengadakan larian obor di seluruh negara pada Mei depan.

"Semua orang akan diberi baton di setiap negara untuk melakukan larian pendek di negara-negara yang terlibat bagi meningkatkan kesedaran kepada penganjuran Sukan SEA di Malaysia pada Ogos," katanya. "Ia adalah program kesedaran oleh pihak penganjur."

Beberapa bintang sukan dunia seperti peninju Filipina, Manny Pacquiao, dan bekas ratu cantik dunia dari Thailand bersetuju untuk mengambil bahagian.

Lebih menarik, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan turut menyertai larian baton di beberapa negara Asia Tenggara bagi mempromosikan Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini.

Malaysia menyasarkan gelaran juara keseluruhan untuk mengulangi pencapaian ketika menjadi tuan rumah pada 2001.