Sukan permotoran negara akan gulung tikar, kata Presiden Persatuan Pelumba Motosikal Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, dalam menggambarkan situasi membimbangkan industri sukan permotoran negara selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melarang sebarang bentuk perlumbaan tempatan dianjurkan.

Justeru itu, pemain industri berkenaan amat berharap agar pihak kerajaan dapat memberikan ruang untuk mereka kembali berlumba memandangkan kesemua prosedur operasi standard (SOP) yang wajar sudah ditetapkan dan sukan permotoran, terutama perlumbaan dua roda, tidak memerlukan kontak rapat selain tiada sebarang kes positif COVID-19 dicatatkan dalam komuniti mereka.

Shahrol Yuzy, yang menjadi tetamu jemputan dalam Nadi Arena hari ini, menjelaskan masa depan sukan permotoran negara kini tampak begitu kelam kerana selagi tiada perlumbaan dibenarkan, ia akan mengakibatkan kesan yang begitu mendalam kepada seluruh warga industri berkenaan, termasuk ramai yang akan hilang pekerjaan.

Ia bukan sahaja melibatkan pelumba, bahkan warga sokongan lain seperti mekanik, kru, jurulatih dan pegawai perlumbaan, juga mungkin akan kehilangan pendapatan berikutan tiada dana untuk membiayai gaji mereka.

Shahrol Yuzy, yang mewakili seluruh komuniti sukan permotoran dua roda negara, memohon dan merayu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar memberikan kelonggaran untuk industri itu dapat kembali berjalan sebelum hujung tahun ini.

"Buat masa ini sejak Mac lalu, selepas tiga bulan, Alhamdulillah kami dapat kembali berlumba (dalam Cub Prix Malaysia).

"Tetapi pemotongan daripada pihak penaja itu memang tak dapat dielakkan kerana penganjur telah mengumumkan daripada 10 perlumbaan, ia dipendekkan kepada lapan perlumbaan.

"Kami sudah menjalankan empat perlumbaan tetapi ia terpaksa dihentikan sekali lagi.

"Jadi dalam tempoh sebulan ini, kami perlu menghabiskan baki empat perlumbaan dan jika tidak, kami pasti akan terjejas dengan amat teruk.

"Apabila kami tidak dapat menghabiskan perlumbaan, masa depan kami bagi tahun 2021 sudah tiada.

"Kerana kami sudah tidak dapat menarik kepercayaan pihak penaja dan itulah yang amat membimbangkan," katanya.

Mengulas lanjut, Shahrol Yuzy menambah: "Itulah faktanya. Jika baki perlumbaan tidak dapat dijalankan dalam sebulan ini, kami pasti akan gulung tikar.

"Apabila tiada perlumbaan, penaja akan lari, jadi kami terpaksa menanggung beban untuk membayar segala-galanya.

"Saya ada pasukan sendiri dan tidak tahu apa lagi yang mahu dijual. lebih baik tutup pasukan

"Jadi, kepada MKN, tolonglah kami, hanya tinggal beberapa perlumbaan sahaja lagi.

"Jika perlumbaan diketatkan atau perlu ditamatkan dalam masa seminggu atau dua minggu, ia sudah memadai asalkan kami dapat melengkapkan lapan perlumbaan," katanya.