Jaguh pecut paralimpik negara, Mohd Ridzuan Puzi, bukan harapan utama untuk mempertahankan pingat emas 100m T36 dalam Sukan Paralimpik Tokyo, 24 Ogos hingga 5 September depan.

Ia susulan kebangkitan jaguh Australia, James Turner, yang memiliki catatan peribadi terbaik, 11.72 saat, selain pemenang perak Sukan Paralimpik Rio 2016, Yang Yifei dari China.

Ridzuan tewas kepada kedua-dua pelari itu dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kami sasarkan dua emas, satu perak dan satu gangsa.

"Dua emas menerusi Ziyad Zolkefli dan Latif Romly. Jonathan Wong yang muncul naib juara dalam lompat jauh T12 Kejohanan Dunia, Novermber, lalu diharap mampu kekalkan prestasinya untuk perak.

"Ridzuan kita lihat apa keputusan yang akan diperolehnya di sana, kami jangkakan gangsa daripadanya.

"Saya tidak dapat janjikan (apa-apa) dan dia menunjukkan peningkatan," kata ketua jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan.





Sementara itu, Ziyad di landasan tepat untuk mempertahankan emas lontar peluru F20 selepas melakukan 17.57m dalam aksi simulasi skuad negara, minggu lalu.

Catatan itu tidak diiktiraf ekoran ketiadaan pegawai bertauliah daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tapi ia petanda positif untuk mengatasi juara paralimpik dunia dari Ukraine, Maksym Koval.

"Kalau saya menang dalam Kejohanan Dunia yang lalu, saya tidak akan rasa macam ini.

"Mungkin saya jadi lalai. Masa itulah tuhan tunjukkan bahawa kadang-kadang saya di atas, kadang-kadang di bawah.

"Kalau mahu sentiasa di atas, saya perlu berusaha.

"Persaingan ini agak bagus dan ada lagi seorang pencabar muda. Kalau dia buat bagus, saya kena lagi bagus daripadanya," kata Ziyad.